PETALING JAYA 16 Dis. – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) tidak menolak kemungkinan untuk menjadi pemaju hartanah pada masa depan berikutan pembabitannya dalam pembangunan hartanah wakaf di negara ini.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pembabitan bank tersebut di dalam pembangunan hartanah masih di peringkat awal.
Ketika ini Bank Islam terbabit di dalam pembangunan Menara Wakaf setinggi 34 tingkat yang dibangunkan oleh TH Technologies Sdn. Bhd., yang mana bank tersebut bertindak sebagai penyewa utama kepada bangunan itu apabila ia siap kelak.
“Menara Wakaf yang terletak di Jalan Perak, di sini merupakan projek pertama Bank Islam terlibat secara tidak langsung namun kita membayangkan untuk membabitkan diri secara serius di dalam bidang hartanah pada masa depan jika ada peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan Bank Islam cawangan Kota Damansara yang ke-95 di sini yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Turut hadir ialah Pengerusi Bank Islam, Datuk Mohd. Bakke Salleh dan Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.
Dalam pada itu Zukri berkata, Bank Islam merancang untuk membuka 10 lagi cawangan barunya tahun depan dengan pelaburan mencecah hampir RM7 juta ringgit.
Beliau berkata, pembukaan 10 lagi cawangan baru itu merupakan antara usaha untuk mengukuhkan kehadiran Bank Islam di negara ini selain menjadi pemain utama dalam sektor perbankan Islam.
Katanya, daripada 10 cawangan yang dirancang itu, tiga telah dikenal pasti lokasinya manakala selebihnya di dalam perancangan untuk menentukan lokasi.
“Antara lokasi yang telah ditetapkan ialah Alor Setar, Bukit Jelutong Shah Alam dan Sri Petaling yang mana kos pelaburan adalah antara RM600,000 hingga RM700,000 sebuah,” katanya.
Menurut Zukri, bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember tahun depan Bank Islam yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji secara majoritinya perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan kehadiran serta pegangan pasaran di negara ini.
Katanya, Bank Islam telah menukar tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun setiap tahun kepada 31 Disember bermula tahun depan bagi tujuan penyeragaman sebagaimana yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji.
“Sebagai syarikat yang menguasai 52 peratus di dalam Bank Islam, maka kami perlu mengikut hala tuju yang telah ditetapkan oleh pemegang saham utama kami,” katanya.
Rencana ini dipetik dari Utusan.com.my dan memerlukan kita memikir banyak-banyak kenapa sebuah bank yang dimiliki oleh kerajaan dan Tabung Haji (juga milik kerajaan) tidak boleh atau tidak mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan hartanah Melayu?
0 Ulasan