Hari ini adalah hari penamaan calon bagi Piliharaya Umum yang ke 12 bagi negara Malaysia. Hari ini juga merupakan hari yang penting bagi kita ingati dan kenangi seperti hari-hari penamaan calon pilihanraya umum yang lain iaitu hari yang menentukan arah kepimpinan negara. Kempen-kempen sudah tentunya akan lebih hebat selepas penamaan calon diwartakan dan akhirnya kita akan mengundi pada 8 Mac 2008 ini.
Pada 8 Mac ini kita (pengundi-pengundi) akan tentukan parti manakah yang akan memerintah negara Malaysia dan akan menentukan arah tuju negara seterusnya.
Persoalannya bolehkan kita sebagai pengundi mengubah kepimpinan kerajaan sekarang? Selain dari parti-parti politik suku-bangsa yang kecil yang terdapat di Sabah dan Sarawak, parti-parti pembangkang yang besar hanyalah parti PAS, DAP dan PKR yang mungkin juga tidak mampu bergabung jitu atas prinsip dan tujuan perjuangan yang berbeza sesama sendiri.
Walaupun BN di atas kertas tidak juga cemerlang dan segagah dulu serta penuh dengan permasalahan dalaman, yang pastinya parti pembangkang juga tidak mampu mendominasi kerana mereka juga mempunyai masalah-masalah dalaman yang hampir sama walaupun tak serupa!
Pemimpin Politik adalah 'Perancang Bandar' Sebenar!
Sebelum saya pergi lebih jauh membuat analisa yang berbentuk politik, apakah relevannya perbincangan pilihanraya umum dan parti politik untuk dihidangkan dalam laman blog hartanah Melayu ini? Sudah tentulah amat relevan kerana parti yang menang akan menentukan dasar dan perlaksanaan pembangunan hartanah yang amat bernilai ini.
Sebenarnya para pemimpinlah yang harus bergelar 'Perancang Bandar dan Desa' kerana merekalah yang menentukan Pelan Struktur Pembangunan Hartanah, cadangan dan perlaksanaan guna-tanah samada untuk perumahan, perdagangan, perusahaan dan perindustrian serta pertanian. Corak guna-tanah ini sebenarnya amat signifikan atau mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi dan sosial rakyatnya.
Seharusnya para Perancang Bandar boleh merasa tersinggung bila profesionalisma mereka diperkecilkan, justeru para pemimpin yang dilantik atau dipilih itu datangnya dari guru sekolah, pensyarah universiti/graduan bidang perniagaan, pentadbiran, perakaunan, doktor dan lulusan SPM.
Perkhidmatan Perancang Bandar tidak lebih dari memberi perundingan dan pengesahan bagi mendapatkan kelulusan perancangan, namun keputusan akhir terhadap sesuatu pembangunan hartanah itu tetap akan berada di tangan pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan samada di dalam Mesyuarat Pembangunan Tanah Daerah, dalam Mesyuarat Majlis Berkuasa Tempatan, dalam mesyuarat EXCO Negeri ataupun dalam Majlis Mesyuarat Kabinet Menteri.
Yang pastinya BN tidak akan kalah secara keseluruhan dalam pilihanraya kali ini dan pastinya juga akan berjaya menubuhkan sebuah kerajaan baru yang mungkin baru dari sudut beberapa individu baru dalam saf kepimpinan tetapi usang dari sudut perjuangan Melayu itu sendiri.
Walaupun BN itu dikuasai oleh UMNO dan kebanyakkan kepimpinan negeri adalah dari terdiri daripada orang Melayu, namun sepertimana keadaan yang telah lalu, mereka tetap juga tidak signifikan kepada orang Melayu terutamanya dalam membincangkan permasalahan hartanah Melayu.
Kita jumpa lagi dalam post yang lain! - Hj Rozman
0 Ulasan