Kuota Bumiputera - Siapa Yang Lebih Untung Sebenarnya?

Saya mengalu-alukan kenyataan dari Majlis Pemaju Malaysia (MPC) berkenaan masalah peruntukan kuota bumiputera. Komen saya sepatutnya sudah lama perlu ada keseragaman dan satu sistem yang digunapakai oleh semua negeri dan juga persekutuan. Ketidakseragaman ini telah membiakkan amalan rasuah dan salah guna kuasa di mana terdapat pemaju terutamanya yang gagah dan berwibawa dapat melepasi (waive) kuota bumpitera ini dengan mudah tetapi ada juga yang menghadapi masalah setelah kuota jualan untuk bumiputera tidak dibeli yang boleh menyebabkan sesebuah projek menjadi terbengkalai kerana kekurangan pembeli bumputera. 

Hal berlaku kepada kebanyakkan pemaju yang membina rumah kos sederhana ke atas di mana pembeli bumiputera selalunya lambat untuk mengambil peluang dan menanti sehingga sesebuah projek itu hampir siap barulah membuat keputusan untuk membelinya.  Terdapat juga banyak masalah yang melibatkan pinjaman terutamanya bank-bank komersil yang menolak permohonan2 pinjaman dari kalangan bumiputera.

Justeru itu terdapat juga pemaju yang menjual unit-unit kuota bumiputera kepada bukan bumi dan mengharapkan mereka boleh membayar levi, saman dan penalti saja.  Namun begitu ada juga yang terperangkap dan tersangkut di dalam urusan 'consent' dari Majlis Mesyuarat Negeri (Exco meeting) sehingga membolehkan Menteri Besar satu-satu negeri boleh menandatangani 'consent' tersebut, ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun tidak dapat diselesaikan.

Saya berkata begini bukan tidak patriotik atau melupakan bangsa saya Melayu dan bumputera tetapi apalah gunanya sistem kuota ini seandainya tidak diselaraskan dan ditetapkan agar tidak berlaku lubang-lubang gelap (loophole) dalam sistem ini dan dieksploitasikan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan malah pemimpin sendiri?

Manakah yang lebih penting iaitu memastikan sesebuah projek perumahan itu berjalan mengikut waktunya ataupun terbengkalai dan membuat pembeli-pembeli yang telah membelinya di peringkat awal menjadi susah dan teraniaya?

Perlu dimaklumkan bahawa sesebuah pemaju biasanya hanya mempunyai modal setakat 30% sahaja di dalam satu-satu projek pembangunannya dan selebihnya bergantung kepada bayaran dari pembeli yang selalunya juga meminjam wang dari bank. Tanpa sekurang-kurangnya 50% pembeli awal, syarikat pemaju yang baru atau tidak kukuh kewangannya akan gulung tikar!

Sepatutnya sistem atau syarat kuota ini berkuatkuasa kepada pembinaan rumah2 kos rendah dan sederhana rendah di mana kebanyakkan pembeli bumpitera tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pembiayaan dan mampu membayarnya semula.

Siapakah yang lebih untung sebenarnya?

Catat Ulasan

0 Ulasan

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu
Harap maaf, gambar kurang cantik