Monolog Pagi Minggu: BILA SEMUA NAIK, SIAPA YANG NAK TURUN?

TAN SRI KHALID IBRAHIM - dari Pengurus Koperat ke Pengerusi Konglomerat hingga jadi Menteri Besar Kerajaan Negeri Selangor (Gambar dari new.mylaunchpad.com.my)

Hipotesis Definasi Usahawan Melayu (dan Muslim)!

Ahli Lembaga Pengarah, CEO, Pengarah dan pengurus "Government Link Company" (GLC) adalah bukan usahawan tulen. Mereka ini adalah sama juga dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang lain, beza pangkat mereka diperolehi kerana mempunyai sijil-sijil tahap tertinggi di bidang akademik, atau punya hubungan dengan kepimpinan politik yang menguasai dan mempunyai kuasa melantik mereka. Kebanyakkan mereka bermula tanpa pengalaman waima dalam sesuatu industri pun kadang-kala mereka tak tau apa perniagaan yang mereka uruskan! Ada juga yang masih muda belia baru dapat sarjana dari luar negara terus jadi penasihat ekonomi negara! Atau penasihat menteri!

Golongan ini mula menapak dalam sektor pengurusan korporat dan konglomerat (kena rajinlah google kalau nak tau apa beza kedua ini!) apabila kerajaan mula membuat akal 'menyerang' masuk syarikat-syarikat korporat dan konglomerat ini yang dipelopori oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan penjajah Inggeris dahulu, samada untuk mengambil-alih pengurusan mahupun terus mengambil alih saham terbesar dan 'memilikkan' syarikat-syarikat ini di bawah kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan. Mulalah diperkenalkan Kementerian Kewangan Diperbadankan sehinggalah kini menjadi Khazanah Nasional.

Suatu ketika strategi ini begitu 'menjadi' dengan terlahirlah ramai terutama kalangan bumiputera dan anak-anak Melayu yang berkelulusan sekadar lulus di peringkat Universiti awam negara (terutamanya University Malaya) tetapi akhirnya dilatih menjadi pengurus tertinggi dalam mana-mana syarikat korporat dan konglomerat yang berjaya kerajaan tubuhkan atau 'rampas' daripada pemilik-pemilik asal syarikat tersebut. Hanya dengan cara inilah kerajaan dapat 'mempercepatkan' proses menjadikan anak-anak Melayu yang ketinggalan dan kekurangan pengalaman dalam sektor korporat/konglemarat.

Selepas itu kerajaan menubuhkan MARA dan Institut Teknologi Mara (ITM) untuk membolehkan anak-anak Melayu mempelajari dunia keusahawanan dan juga mempelajari banyak sektor teknikal dan professional yang akhirnya maka ramailah orang-orang Melayu berpeluang menjadi Akauntan, Arkitek, Jurutera yang mengisi jawatan-jawatan Kerajaan yang berkaitannya.

Bila pemimpin politik silap dan khilaf (atau tahu tapi tidak perduli atas niat masing-masing) tentang definasi ini, maka berlarutanlah masalah ini kerana kita seolah "menanam benih padi tapi akhirnya berbunga lalang...". Maka monolog pagi minggu saya cetuskan tentang isu: BILA SEMUA NAIK, SIAPA YANG NAK TURUN.

Era Dr Mahathir (kini Tun)


Di peringkat awal kepimpinan Dr Mahathir (kini Tun) beliau telah memperkasakan strategi ini dan kalau masih ingat, beliau memperkenalkan peraturan bagi membolehkan peniaga-peniaga Cina dengan berat hati membuka pintu kilang/pejabat dan syarikat mereka kepada anak-anak muda keluaran ITM khasnya (kerana ilmu teknikal/professional) bagi membolehkan anak-anak Melayu dan bumiputera itu mendapat pendedahan dan pengalaman kerana sebenarnya ilmu tersebut lebih banyak terdedah kepada anak-anak Cina yang datang dari keluarga yang mewarisi perniagaan mereka yang telah direntas oleh datuk-datuk mereka dahulu.

Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor kini adalah salah seorang yang berjaya dilahirkan menerusi strategi ini, malah ramai lagi yang berjaya kalau anda rajin mencari, tak ramai tapi bukan juga sedikit yang boleh dibilang saja dengan jari. Lebih.

Namun kini golongan ini telah menjadi semakin ramai, justeru walau ada juga yang sudah bersara (seperti Tan Sri Khalid), namun disebabkan sistemnya atau strateginya tidak berubah, maka golongan ini sudah menjadi semakin ramai, kuat dan semakin tamak malah rakus. Kapitalis??? Dan yang lebih teruknya, kerajaan BN dan Kerajaan Negeri sekarang masih lagi mengguna-pakai cara dan strategi ini.

Mereka kini jadi golongan yang semakin berkuasa (kerana di 'support' oleh kepimpinan tertinggi negara atau negeri) malah hubungan mesra mereka juga begitu intim melebihi keintiman seorang Wakil Rakyat dengan Perdana Menteri dan Menteri Besar atau Ahli Parlimen dengan Menteri-Menteri. Golongan ini boleh dilihat di mana-mana GLC dalam negara ini yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah, CEO, CFO, COO sehinggalah kepada pengurus-pengurus jabatan, dan gaji/elaun mereka lebih tinggi daripada gaji Pegawai-pegawai Kerajaan kelas A atau mengikut taraf jawatan-jawatan lain di dalam kerajaan (kunonnya bagi bersaing dengan tangga gaji swasta - saya rasa anda boleh meneka cara cakap siapa yang saya momokkan ini!) . Mereka ini diberikan budget dan kemudahan kewangan seolah-oleh tanpa had dan tanpa kawalan (walaupun ada kawalan sebenarnya!) tetapi yang menghairankan ada di kalangan mereka diiktiraf oleh Kerajaan sebagai usahawan-usahawan yang berjaya! Ini tidak termasuk lagi yang berada di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur.

Ironinya mereka tidak perlu cari modal, tidak perlu bersaing dengan hebat, tidak perlu itu, tak perlu ini seperti mana peniaga-peniaga atau usahawan-usahawan lain yang berhempas-pulas kerana yang amat perlu selain hubungan seperti yang saya sebut di atas, adalah idea, kertaskerja dan bijak memanupulasi 'presentation' secara lisan. Dan seadainya pula idea mereka gagal, mereka boleh cari kerja di mana-mana GLC atau syarikat-syarikat korporat/konglomerat yang lain! Mereka juga boleh membeli saham-saham syarikat besar, mengambil-alih atau bergabung walau tanpa pergerakan wang sebenar berlaku...

Mereka digajikan dengan ratusan ribu ringgit setiap bulan (ada yang mencecah jutaan!), mendapat pelbagai kemudahan istimewa dan jika untung lebih maka nama mereka terus dijulang oleh kepimpinan negara dan akhirnya menjadi Penasihat Perniagaan kepada Perdana Menteri atau Penasihat Kewangan, atau pakar memberi idea....ramai golongan ini...dan akhirnya mereka tidak cukup dengan kereta Merz atau BMW terbaru yang diberi oleh syarikat, taraf hidup mereka perlu ditingkatkan sejajar dengan keuntungan syarikat, tidak cukup dengan kemudahan kapalterbang kelas perniagaan, harus 1st class dan akhirnya hampir semua keuntungan tersebut hanya dihabiskan untuk 'running cost' sesebuah syarikat. Mana integriti mereka kepada rakyat yang memberikan mereka modal dari kutipan pelbagai cukai? Takda, dan lebih ironinya mereka ini juga amat terdedah dengan rasuah pelbagai cara tanpa dapat didakwa di mahkamah kerana kelicikan untuk "bend the rules not offend the rules" dengan mengkaji dan mengguna-pakai semua 'lubang-lubang' (loopholes) dalam setiap undang-undang. Nilai etika? Siapa yang peduli? 


Akhirnya

Mereka tidak peduli untuk naikkan harga bil eletrik, walhal mereka langsung tiada saingan dalam perniagaan ini, begitu juga bil air, kadar tol, cukai itu dan ini, dan lain-lain. Apa sumbangan mereka kepada rakyat bagi menjamin rakyat marhaen tidak terbeban menanggung kenaikan bil? takda sebab itu bukan urusan mereka. Mereka juga tak peduli jika harga rumah melambung-lambung tinggi hingga tak terdaya rakyat marhaen membeli. Mereka juga penyumbang kepada idea kerajaan-kerajaan negeri memberikan tanah-tanah kepada GLC dan pelbagai cara 'jalan belakang' dan akhirnya kebanyakkan kerajaan negeri menetapkan kadar premium hampir sama dengan nilai harga tanah semasa....soalnya siapa yang menaikkan nilai harga? Pesta jualan hampir sama dengan skrip Bandar Airmata di NUSAJAYA akhirnya sama berlaku di negeri Selangor....akhirnya politikus-politikus Melayu bercakaran dan bermusuhan sesama hanya kerana untung yang sedikit kepada mereka tetapi lebih besar kepada usahawan-usahawan yang khilaf diberi definasi!

Saya rasa sudah cukup-cukuplah kerajaan atau kepimpinan tertinggi membela GLC atau memberi pinjaman-pinjaman mudah (softloan), keistimewaan kepada syarikat-syarikat yang sebenarnya untung tetapi masih tidak cukup-cukup (bagi pihak pengurusan mereka)! Bukalah peluang perniagaan ini berdasarkan kepada semua, kalau nak buka untuk Melayu pun, bukalah kepada semua Melayu, bukan sebilangan golongan Melayu! akhirnya bukalah juga kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan, bukan hanya kepada tauke-tauke Cina kiasu yang sama, balik-balik semua kepada mereka... Hartanah, Telekomunikasi, Oil & Gas, perkilangan dan lain-lain.

Senarai Orang Terkaya di Malaysia dan Syarikat Terkaya di Malaysia. (Ada beza antara orang iaitu usahawan dan Pengurus Syarikat perniagaan.)

http://www.mysumber.com/senarai-20-orang-paling-kaya-di-malaysia-2014.html
http://tipsniagacom.blogspot.com/2011/06/richest-facts-9-syarikat-terkaya-di.html

Catat Komen

0 Ulasan

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu

Gambar-Gambar Seminar Usahawan Hartanah Melayu
Harap maaf, gambar kurang cantik